5 Cara Praktikal Fikir Luar Kotak

Friday, August 26, 2016





Berfikir luar kotak ni bukan satu perkara yang mustahil. 

Sejak kita di bangku sekolah lagi saya yakin mesti ada dalam kalangan guru-guru kita, ibubapa, rakan-rakan, ahli-ahli motivasi ataupun sesiapa sahaja yang pernah mengajak kita untuk berfikir luar kotak.

Kemampuan akal manusia untuk berfikir adalah satu anugerah yang paling hebat. Tetapi mungkin disebabkan struktur masyarakat, sistem pembelajaran dan pengaruh suasana telah menyebabkan acuan pemikiran kita dan orang di sekeliling kita seolah-olah sama. Idea-idea yang dikeluarkan kebanyakkannya tidak lagi bersifat asli dan kritis.

Persoalannya:

Bagaimanakah caranya untuk kita berfikir luar norma?

Maka dengan ini izinkan saya memberikan anda 5 cara praktikal bagaimana untuk kita mengilangkan satu bentuk pemikiran yang lain daripada orang lain:


TIPS PERTAMA Pergilah mengembara ke tempat yang asing.


Saya sengaja menggunakan istilah 'mengembara' daripada 'melancong'. Pengembara adalah individu yang mahukan ilmu apabila dia mencampakkan diri di tempat yang asing. Pengembara inginkan kemahiran baru, pemahaman baru dan ingin membuka mata dan minda supaya dia lebih mengenali manusia, kehidupan dan dunia. 

Apabila kita meletakkan diri di suasana yang baru, kita sebenarnya sedang belajar untuk beradaptasi. Budaya, cara fikir dan pandangan masyarakat yang berbeza akan memberikan satu input baru kepada kita. Apa yang kita peroleh daripada suasana yang asing dapat memberikan nilai tambah terhadap idea kita yang sedia ada atau mungkin mengubah idea asal secara total.



TIPS KEDUA Cari rakan luar bulatan sosial kita.


Berkawan biarlah seribu adalah pepatah yang paling bernas. Apabila kita bersosial dengan individu yang datang daripada pelbagai latar belakang, secara tidak lansung kita diberikan satu peluang untuk melihat sesuatu perkara melalui kaca mata yang berbeza. Seseorang yang mempunyai ramai rakan yang berbilang bangsa, agama, budaya dan status sosioekonomi mempunyai kelebihan untuk mengimbang pendapat dan idea supaya ia menjadi lebih menyeluruh.

Yakinkan diri anda untuk membuat kenalan baru di tempat kerja, institusi pendidikan dan malah di tempat awam. Cuba tingkatkan interaksi dengan sebanyak orang yang mungkin dan jangan malu untuk memulakan perbualan. Bukan sahaja anda dapat menambahbaik kemahiran berkomunikasi tetapi percayalah anda juga akan menjadi seorang yang lebih bertimbang rasa, menghormati lain dan bersifat terbuka.



TIPS KETIGA Pelbagaikan genre bahan bacaan kita



Tidak kiralah fiction ataupun non-fiction, segala bentuk bacaan yang mengandungi idea yang baru perlu menjadi keutamaan anda. Melalui pembacaan, kita bukan sahaja dapat melihat sudut pandangan pengarang, tetapi sekaligus melatih minda kita untuk berfikir selari dengan minda pengarang. 

Kita mungkin tidak sedar ataupun separa sedar bahawa hasil pembacaan kita membentuk cara kita berfikir. Maka pemilihan buku yang sesuai amat penting untuk membentuk pemahaman yang matang. Cabar diri untuk memilih buku yang kurang menarik pada sekali pandang. Jika anda sukakan bacaan ilmiah bersifat saintifik, apa kata kali ini anda ambil majalah fesyen ataupun seni pula!



TIPS KEEMPAT Kurangkan bercakap, Banyakkan mendengar




Individu yang berfikir luar kotak adalah individu yang pandai mendengar. Kadang kala disebalik keasyikkan kita memberikan pendapat, kita lupa untuk mendengar pendapat orang lain. Tanpa kita sedar, pendapat yang diabaikan itulah idea yang kita cari-cari selama ini tetapi kita gagal untuk mengenalpasti.

Mendengar adalah satu kualiti yang memerlukan latihan kerana bukan semua mempunyai personaliti yang sedemikian. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang sukar. Apabila kita memberikan tumpuan terhadap intipati sesuatu mesej, ia mungkin dapat memberikan inspirasi baru untuk kita mencipta satu idea yang unik.



TIPS KELIMA Cari Hobi Baru



Tidak ada pengahalang untuk kita eksplorasi perkara baru. Luangkanlah masa untuk mencuba aktiviti yang belum pernah anda cuba. Jika anda seorang yang selesa dengan aktiviti indoor, mungkin anda boleh mengajak rakan-rakan yang biasa berkhemah ataupun memancing untuk berkongsi minat mereka kepada anda.

Hobi yang baru dapat melatih diri anda untuk menghargai sesuatu perkara yang anda sendiri tidak pernah terfikir akan suka ataupun tidak. Anda juga akan peroleh kemahiran yang baru serta mengalih fokus minda anda kepada sesuatu yang berbeza daripada sebelum ini. Secara tidak lansung melatih diri untuk berfikir luar kotak.



END

You Might Also Like

0 comments

Izz is interested to hear what you think :) Anything!

Send Izz an email

For any comments and enquiries: izzuddin.nor92@gmail.com

Subscribe