Awak ni terlalu ego

Thursday, February 23, 2017

Hi!

OK saya nak kongsikan sikit latar belakang saya. Sejak saya kecil lagi saya sentiasa berpindah randah. Dari satu tempat asing ke tempat asing yang lain. Saya tidak ada pilihan tetapi untuk adapt dengan persekitaran saya. Apa yang saya rasa menarik tentang cara saya dibesarkan adalah peluang untuk saya berkawan dengan manusia pelbagai latar belakang.

Seingat saya, pra-persekolahan saya dimasukkan di 3 tadika yang berbeza, sekolah rendah sebanyak 6 buah sekolah dan 3 buah sekolah menengah. Selepas itu saya membuat kos persediaan untuk ke luar negara selama 2 tahun dan sekarang sudah lebih 4 tahun saya di Scotland.

Sewaktu saya berada di tingkatan 1, saya tinggal bersama nenek saya selama setahun. Pada waktu itu, ibubapa saya tinggal di Bandar Kuantan bersama adik-beradik saya yang lain. Saya masih ingat setiap pagi saya akan berbasikal bersama rakan sekelas melalui jalan-jalan sempit sambil menghirup udara segar kampung. Pada tahun yang sama itu juga buat pertama kalinya saya melihat sawah padi dan kerbau!

Saya masih ingat bertanya kepada rakan-rakan akrab saya ketika itu, "Apa yang awak inginkan apabila sudah dewasa?". Jawapan yang diberikan oleh mereka pada ketika itu agak menghairankan saya. Kebanyakkannya memberi jawapan umum seperti menjadi penjawat awam dan ingin bekerja di sekitar kawasan yang sama. Saya rasa hairan kerana terlintas dalam pemikiran saya dan saya bertanya, "tidakkah kamu semua mahu keluar melihat dunia?". Mereka semua melihat saya seolah-olah kebingungan.

Apabila saya berada di Tingkatan 3, saya bersekolah di Kuantan. Hampir setiap hari saya akan berjalan melalui koridor yang dipenuhi pelajar-pelajar lelaki melepak hampir setiap kali kelas kosong tanpa guru. Saya pula akan penuhi masa saya belajar di dalam kelas. Kadang-kala saya rasa agak terpisah dan keseorangan. Suatu tengah hari ketika waktu rehat, seorang pelajar perempuan sekelas ingin berbicara dengan saya. "Izzuddin, awak hebohkan kepada orang ramai awak nak 9A kenapa? Perlukah awak nak membangga diri begitu? Saya bukan nak halang awak bercita-cita tapi kadang-kadang orang rasa awak ni terlalu ego." Selepas meluahkan apa yang terpendam di hatinya, dia pergi meninggalkan saya. Saya pula hanya terdiam.

Naik Tingkatan 4, saya berpindah ke Kelang. Saya masuk sekolah berasrama penuh. Buat kali pertama saya rasa seolah-olah saya berada di tempat yang betul. Tetapi tidak lama kerana kebanyakkan murid di sana mempunyai idea yang amat berbeza dengan saya tentang definisi kehidupan.

Pada pukul 12 tengah malam, seorang pelajar setahun lebih tua daripada saya dan rakan-rakan setingkatan mengarahkan kami untuk berkumpul mendengar dia memberikan ceramah agama. Katanya "kepada sesiapa yang tidak setuju mendengar ceramah agama pada waktu ini, sila angkat tangan. Ceramah agama adalah seperti taman-taman syurga dan sahabat-sabahat nabi waktu dahulu sanggup berkorban masa dan tenaga demi ilmu."

Saya angkat tangan. "Saya rasa kami semua penat dan esok sekolah, bukankah kuantiti tanpa kualiti itu satu pembaziran? Saya yakin ramai yang tidak boleh fokus dengan "ilmu" yang awak cuba sampaikan."

"Cakap kosong, tak ada point. Duduk sini diam-diam," jawabnya sambil gelak sinis, Orang lain hanya duduk membisu seolah-olah sudah menerima mereka tidak mempunyai suara.

Saya tidak pernah takut menyuarakan pendapat, tetapi selapas episod itu, saya sedar bahawa ini adalah salah satu bentuk pengalaman yang saya perlukan untuk membina kematangan saya.

Zaman persekolahan adalah satu zaman yang mencabar. Tetapi saya sangat seronok kerana banyak yang saya belajar. Sehingga sekarang proses pembelajaran mengenali manusia itu tidak pernah berhenti. Setelah berada di Scotland, jauh daripada negara ibunda tercinta, pemikiran saya tentang kehidupan turut perpindah.

You Might Also Like

0 comments

Izz is interested to hear what you think :) Anything!

Send Izz an email

For any comments and enquiries: izzuddin.nor92@gmail.com

Subscribe